Saturday, 16 June 2012

Dasar etika 3K elak kerajinan bawa kemudaratan

JIKA ada bertanya kepada seseorang yang telah berjaya rahsia kejayaannya, walau apa juga rahsia dikongsikan, bagi saya semuanya bertitik tolak dari satu kata kunci iaitu kerajinan kerana 'kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'.
Peribahasa Melayu menyebut, ‘Rajin dan usaha tangga kejayaan’. Kerajinan adalah kunci kejayaan, menjadikan yang berat itu ringan, sukar itu mudah dan bekerja sebagai suatu rutin menyeronokkan.
Dalam Islam, setiap titik peluh kerajinan dilihat dan dinilai Allah SWT. Firman-Nya bermaksud: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang Mukmin akan melihat pekerjaanmu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah, ayat 105)
Sifat rajin menyebabkan seseorang mampu melakukan sesuatu dengan kesungguhan tanpa dipaksa dan menjadikannya suatu kebiasaan. Apabila menyebut, ‘alah bisa, tegal biasa’, sesuatu kerja kurang menyenangkan atau sukar akan tidak terasa apabila sudah biasa dilakukan.

Kebiasaan itu pula tidak akan lahir tanpa kerajinan sehinggakan apabila sifat rajin sudah sebati dengan peribadi, seseorang itu akan rasa jemu dan bersalah jika lebih banyak duduk atau berehat tanpa bekerja.

Kerajinan dalam ajaran Islam bukan sekadar tuntutan akhlak terpuji tetapi juga tuntutan memelihara maruah. Bangsa yang rajin adalah bangsa bermaruah dan yang malas adalah bangsa yang hina.

Justeru, Khalifah Saidina Umar al-Khattab antara pemimpin dikatakan amat bertegas dalam memerangi sifat malas dalam kalangan masyarakatnya.
Beliau berkata, sesungguhnya Allah SWT tidak menurunkan emas dan perak dari langit sebagai menegur masyarakat yang lebih banyak berdoa tanpa berusaha. Gesaan ini selari galakan Rasulullah SAW supaya seorang mencari kayu api untuk dijual daripada meminta-minta.

Kerajinan itu lambang hamba Allah yang beriman dan bersyukur. Terlalu banyak ayat Allah dalam al-Quran yang menggandingkan antara sifat orang yang beriman dengan beramal salih atau bekerja.

Ada pandangan mengatakan gandingan ini disebut tidak kurang daripada 50 kali melambangkan kepentingannya yang terbukti melalui gaya hidup nabi dan tokoh terbilang yang telah menempa kejayaan masing-masing.

Kerajinan juga adalah umpan yang mampu menjala pelbagai bentuk manfaat. Bagi pekerja, kerajinan penting untuk menunaikan amanah kerja, memastikan dan mempercepatkan keberhasilannya serta memastikan kesilapan ditangani dengan tindakan membetulkan dengan segera.

Dalam Islam, setiap titik peluh kerajinan dilihat dan dinilai Allah SWT. Firman-Nya bermaksud: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang Mukmin akan melihat pekerjaanmu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah, ayat 105)

Bahkan, ia tidak dianggap sia-sia oleh Allah SWT walaupun hasil kerja keras dan kerajinan itu belum membuahkan natijah atau hasil seperti diinginkan. Ia tetap dinilai sebagai suatu sedekah yang memberi pahala kepada pelakunya.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak seorang Muslim pun yang menanam pohon atau hasilnya dimakan oleh burung atau manusia ataupun makhluk lain, kecuali Allah akan menganggap perbuatannya itu sebagai sedekah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Bagaimanapun, kerajinan bekerja juga perlu berdasarkan etikanya supaya tidak menjadi apa yang disebut sebagai ‘rajin tak tentu pasal’ atau ‘rajin tak bertempat’. Etika kerajinan itu ialah kerajinan melakukan sesuatu dengan menitikberatkan dasar 3K.

Keperluan kerja, keutamaan kerja serta kualiti kerja. Dasar yang dinamakan sebagai 3K ini juga mampu mengelakkan kerajinan yang membawa kepada kemudaratan iaitu apabila kerajinan mengakibatkan pengabaian tanggungjawab asas kepada hak Allah, keluarga, masyarakat dan diri.

Justeru, insan yang rajin dan menjaga etikanya akan meraih keuntungan hebat di dunia dan akhirat iaitu kerja berprestasi, keampunan dan rezeki melimpah ruah seperti janji Allah.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan barang siapa mengerjakan pekerjaan yang baik-baik, lelaki mahupun perempuan, sedangkan ia beriman, maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga, mereka diberikan rezeki didalamnya tanpa hisab.” (Surah al-Mukminun, ayat ayat 40)

Janji keampunan Allah SWT pula dinyatakan dalam firman bermaksud: “Maka orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, bagi mereka keampunan dan rezeki yang mulia.” (Surah al-Hajj, ayat 50)

Justeru, kesedaran pentingnya sifat rajin berserta inisiatif serta insentif untuk membugar kerajinan bekerja perlu sentiasa disuburkan dalam minda dan diri kita semua. Pada masa sama, perkara yang boleh membantutkan atau melemahkan semangat kerajinan di tempat kerja perlu dielakkan.

Seperti prosedur kerja yang terlalu rumit, kegagalan membina pasukan kerja yang baik dan semangat saling dan mudah bekerjasama, penghargaan setimpal, perlin-dungan kebajikan walaupun kepada pekerja berstatus sementara atau kontrak.

Mudah-mudahan setiap daripada kita akan dapat membangun bukan sekadar sistem kerja dan menunaikan amanahnya tetapi dapat mewariskan contoh teladan melalui budaya kerja berasaskan kerajinan kepada anak bangsa kelak.

No comments:

Post a Comment